KUALA LUMPUR 24 Jun - Beberapa penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membanggakan negara apabila memenangi enam anugerah di Ekspo Reka Cipta dan Produk Baru (Inpex) 2008 di Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan UPM hari ini, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff dari Institut Biosains memenangi pingat emas dalam kategori pertanian dan perak dalam kategori sains bagi penyelidikannya bertajuk Periphyton - Bacterial Complex: A Novel System for Improving Water Quality and Shrimp Survival without Water Exchange.
Seorang lagi pemenang pingat emas adalah penyelidik dari Fakulti Pertanian dan Sains Makanan Kampus Bintulu UPM, Dr Osumanu Haruna Ahmed yang memenangi anugerah dalam kategori Teknologi Khusus dan gangsa dan kategori Kimia.
Osumunu mempersembahkan projek bertajuk Simple and Rapid Method for Purifying Humid Acids Isolated from Humified Substances yang dapat membantu mengurangkan kos dalam penghasilan baja organik.
Pemenang lain termasuklah Prof. Madya Mohd. Basyaruddin yang menerima anugerah perak dalam kategori Alam Sekitar bagi projek Biocoating: Nanoformulation Surface Coating dan Prof. Madya Dr. Ishak Aris yang memperoleh pingat gangsa bagi projek Alternative Energy, Automotive, Environmental, Science, Transportation and Vehicles .
"Malaysia turut mendapat penghargaan sebagai perwakilan paling besar dengan 51 penyertaan dan 81 produk dalam INPEX kali ini," kata Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ratnasary Muniandy daripada Fakulti Kejuruteraan UPM.
Ekspo itu berlangsung daripada 11 hingga 14 Jun dan disertai lebih 20 negara dengan 800 produk dipertandingkan.
- Bernama
Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh: 25 Jun 2008