Pengenalan

 

 

Objektif utama Laboratori Bioteknologi Marin (MARSLAB) adalah untuk memperkukuhkan program penyelidikan bioteknologi marin dan akuakultur, menerusi peningkatan kepakaran, penambahbaikan prasarana penyelidikan dan inovasi novel produk berasaskan marin. Fokus penyelidikan di MARSLAB meliputi penemuan biomolekul marin semulajadi, dan pembangunan produk bernilai komersil untuk pasaran industri makanan, nutraseutikal, farmaseutikal serta akuakultur. Bidang penyelidikan ini adalah sejajar dengan objektif program Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) yang menangani isu kesihatan ikanmelalui teknologi vaksin dan immunoterapeutik. Sebagai tambahan kepada aktiviti penyelidikan, MARSLAB memainkan peranan aktif dalam menyediakan latihan khusus kepada staf, pelajar dan orang awam, merangkumi pelbagai topik berkaitan sains marin dan akuakultur.

Menerusi latihan tersebut, kami berkongsi penemuan asas, pembangunan teknologi baru untuk aplikasi komersil, serta mengemukakan penyelesaian inovatif kepada masalah praktikal yang berhubung-kait dengan pelbagai industri berasaskan marin. Kami berharap usaha ini akan menyumbang ke arah peningkatan modal insan dan pembangunan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara. Latihan ini turut menekankan kepentingan pemuliharaan dan penggunaan mampan pelbagai khazanah akuatik di negara kita.

Bagi memperkasakan penyelidikan dan latihan tersebut, kami membina jaringan kerjasama dan kolaborasi penyelidikan intensif dengan pelbagai institusi penyelidikan terkemuka seperti Atmosphere and Ocean Research Institute (AORI), University of Tokyo, Smithsonian Tropical Research Institute (STRI), Russian Academy of Science, University of Stirling, Wageningen University dan Ghent University. Geran penyelidikan diperolehi daripada pelbagai agensi tempatan mahupun antarabangsa, dalam usaha memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Pertanyaan :

Profesor Madya Dr. Ina Salwany Md. Yassin
Ketua Laboratori (DS54)  
: salwany@upm.edu.my 
 : 03 - 9769 2192 (New) / 03 - 8947 2192 (Old)