Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) Diiktiraf Sebagai Pihak Berkuasa Depositori Kebangsaan Yang Pertama Di Malaysia | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Depositori Kebangsaan yang Pertama di Malaysia

Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Depositori Kebangsaan yang Pertama di Malaysia

26 April 2024 – Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) atau sebelum ini dikenali sebagai Unit Koleksi Kultur Mikrob (UNiCC) merupakan salah satu unit strategik di bawah Institut Biosain (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan. Unit ini telah ditubuhkan sejak tahun 2008 dengan objektif utama penubuhan adalah untuk menyelenggara dan mengurus koleksi kultur strain mikroorganisma serta menawarkan perkhidmatan berkaitan lain bagi penyelidik dalam dan luar UPM. 

Pada tahun 2022, UPM-MCC telah menetapkan sasaran untuk mencapai status sebagai Pihak Berkuasa Depositori Kebangsaan (National Deposit Authority – NDA) dan merupakan salah satu Projek Khas IBS (tahun 2022 - 2025). Dengan adanya status NDA ini, UPM-MCC akan dapat menyediakan perkhidmatan penyimpanan bakteria di dalam kategori Patent Deposit bagi memenuhi salah satu syarat pemfailan paten berkaitan mikroorganisma di Malaysia.

Pada 27 Mac 2024, UPM-MCC telah diwartakan secara rasmi oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai NDA yang pertama di Malaysia. Pada 26 April 2024, UPM-MCC yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM telah menerima sijil NDA dari YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024). Misi ini  memperkasakan lagi peranan UPM-MCC sebagai sebuah koleksi kultur mikrob di UPM dan Malaysia, sekaligus meningkatkan lagi visibiliti UPM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXFTTAV~