Persidangan Dan Pameran Perdagangan Asian Pacific Aquaculture 2017 (APA17) | INSTITUT BIOSAINS
» BERITA » Persidangan dan Pameran Perdagangan Asian Pacific Aquaculture 2017 (APA17)

Persidangan dan Pameran Perdagangan Asian Pacific Aquaculture 2017 (APA17)

Persidangan dan Pameran Perdagangan Asian Pacific Aquaculture 2017 (APA17) telah berlangsung mulai 24 hingga 27 Julai 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. APA merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Akuakultur Sedunia bagi Rantau Asia Pasifik. APA17 telah dianjur bersama oleh Persatuan Perikanan Malaysia (MFS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Akuakultur Sedunia (WAS). Persidangan ini dihoskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Anthony Nogeh anak Gumbek telah merasmikan Persidangan dan Pameran Perdagangan Asian Pacific Aquaculture 2017. APA17 telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 3,000 orang dari 46 negara. Sebanyak 444 abstrak telah diterima; dengan 325 dibentangkan secara lisan, manakala 119 menerusi poster. Bagi pameran perdagangan, terdapat hampir 170 buah booth melibatkan syarikat pempamer dari 20 negara antaranya Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat, Thailand dan Taiwan. Produk yang dipamerkan termasuklah makanan akuakultur, perkhidmatan kesihatan dan diagnostik, peralatan ternakan, sangkar, tangki, jaring dan sebagainya. 

Sesi ucap utama pada 25 Julai 2017 bermula dengan pembentangan oleh Herve Lucien-Brun, seorang pakar runding dari Perancis, bertajuk "Marketing of Farmed Seafood from Asia to Global Markets". Sesi kedua disampaikan oleh Dr. Mazuki Hashim, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia yang membincangkan tajuk “Transforming the Aquaculture Industry in Malaysia”.

 

Program “Malaysian Farmers Day” telah dihadiri oleh pengusaha akuakultur tempatan. Ia dipengerusikan oleh Tn. Hj. Abdullah Abd Rahim, Presiden MFS and Dr. Mazuki Hashim. Pakar antarabangsa dan tempatan telah berkongsi pengalaman berkaitan program komprehensif ternakan ikan antaranya transformasi akuakultur kerapu, pengurusan kesihatan ikan, genetik tilapia dan trend pasaran. 

Terdapat 37 sesi saintifik berkaitan bidang akuakultur sepanjang APA17 berlangsung antaranya udang laut, tilapia, kultur ikan air tawar, kesihatan haiwan akuatik, nutrisi dan pemakanan akuatik, serta lawatan ke ladang akuakultur. Lebih 30 orang peserta telah menyertai sesi lawatan yang dikendalikan oleh MFS pada 28 Julai 2017 untuk meninjau aktiviti ternakan sangkar di Pulau Ketam, tempat penetasan kerapu dan kolam udang.

Tarikh Input: 29/08/2017 | Kemaskini: 29/08/2017 | azah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT BIOSAINS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 3045
03 - 9769 2101
SXFJGAY~